- 7/02/2010 08:10:00 AM
- 0 Comments
MihrabMu langit suci
Hidayah penyuluh hati
Cahaya Mengalir
Bak sutera helai dedaunan
begitulah hikmah agungNya
Menyinari alam buana
Bukit uhud mengalir darah
Para syuhada raikan cinta
Buktikan azam maruah nur islami
Syurga idaman janji Ilahi
Bangunlah..Bangkitlah
Semarakkan ukhuwah
Janganlah bangga hindarkan takbur
Dunia hanya pinjaman
Ulama' umara...pembimbing rohani
Penyahut seruan kalam ilahi
Permata nilam perpaduan ummah
Sinar keimanan terus bersatu
Penyulam kesejahteraan
Dunia....Akhirat
-NAKRIZ-
- 6/03/2010 07:19:00 PM
- 0 Comments
Guru oh Guru
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
1979
- 5/14/2010 08:02:00 AM
- 0 Comments
Kronologi Peristiwa Tragedi Berdarah 13 Mei
Peristiwa ini berlaku berikutan pengumuman keputusan Pilihanraya Umum pada 10 Mei 1969.
Dr. Tan Chee Khoon dari parti Gerakan telah menang besar di kawasan Batu, S’gor. Beliau minta kebenaran polis untuk berarak meraikan kemenangan parti tersebut di S’gor yang menyaksikan 50:50 di S’gor. Perarakan tersebut menyebabkan kesesakan jalan raya di sekitar KL. Perarakan hingga ke Jln Campbell dan Jln Hale dan menuju ke Kg Baru. Sedangkan di Kg Baru, diduduki lebih 30,000 orang Melayu yang menjadi kubu UMNO, berasa terancam dengan kemenangan pihak pembangkang. Di sini letaknya rumah Menteri Besar S’gor ketika itu, Dato’ Harun Idris.
Dikatakan kaum Cina yang menang telah berarak dengan mengikat penyapu kepada kenderaan mereka sebagai lambang kemenangan mereka menyapu bersih kerusi sambil melaungkan slogan. Ada pula pendapat yang mengatakan penyapu tersebut sebagai lambang mereka akan menyapu (’menyingkir’) orang Melayu ke laut. Dalam masyarakat Melayu, penyapu mempunyai maksud yang negatif. Ada yang mencaci dan meludah dr atas lori ke arah org Melayu di tepi jln.
Perarakan kematian Cina
Akibat daripada rusuhan maut tersebut, kesesakan jlnraya turut berlaku.
Di Jinjang, Kepong, kematian seorang Cina akibat sakit tua diarak sepanjang jln dgn kebenaran polis. Namun perarakan kematian bertukar menjadi perarakan kemenangan pilihan raya dengan menghina Melayu.
Pd hari Selasa 13 Mei, Yeoh Tech Chye selaku Presiden Gerakan memohon maaf di atas ketelanjuran ahlinya melakukan kebiadapan semasa perarakan. Yeoh menang besar di kwsn Bukit Bintang, KL. Tapi permohonan maaf sudah terlambat.
Rumah Menteri Besar S’gor
UMNO telah mengadakan perarakan balas pada pagi 13 Mei 1969 yang mengakibatkan terjadinya peristiwa ini. Hal ini adalah kerana perasaan emosi yang tinggi dan kurangnya kawalan dari ke2 pihak. Perarakan ini x dirancang.
Orang Melayu berkumpul di rumah Menteri Besar S’gor di Jln Raja Muda Abdul Aziz di Kg Baru, KL. Dato’ Harun Idris selaku Menteri Besar S’gor ketika itu cuba mententeramkan keadaan. Rupa2nya, mrk yang berkumpul telah membawa senjata pedang dan parang pjg dan hanya menunggu isyarat lampu hijau dr Dato’ Harun Idris untuk mengamuk.
Ketika berkumpul, cerita2 tentang kebiadapan ahli parti Gerakan tersebar dan meluap2. Jam 3 petang datang berita kejadian pembunuhan orang Melayu di Setapak, hanya dua km dari rumah Menteri Besar S’gor.
4.00 petang 2 penunggang motosikal Cina yang melalui Jln Kg Baru telah dipancung. Sebuah van membawa rokok dibakar dan pemandunya dibunuh. Pemuda2 Cina yang dikatakan dari PKM dan kongsi2 gelap telah bertindak balas. Mereka membunuh orang2 Melayu di sekitar KL. Rupa2nya orang Cina dan pemuda Cina ini lengkap dengan pelbagai senjata besi, tombak dan lembing berparang di hujung seperti dalam filem lama Cina.
Rusuhan besar terjadi. Perintah darurat dikeluarkan, semua orang tidak dibenarkan keluar dari rumah. Pasukan polis berkawal di sekitar KL. Tentera dari Rejimen Renjer lebih awal dikerahkan menjaga keselamatan sekitar KL.
Rejimen Renjer
Anggota FRU semasa rusuhan 13 Mei berlaku.
Pasukan FRU dikeluarkan dr Kg Baru dan askar dari Rejimen Renjer ambil alih. Malangnya pasukan ini terdiri dari orang2 Melayu, Iban, Cina, India, Sikh, Gurkha dan lain2 turut menembak orang Melayu dan ini menyebabkan kemarahan orang Melayu semakin meluap2. Menurut laporan, ketua pasukan Rejimen Renjer dikatakan berbangsa Cina.
Pemuda2 Melayu yang mempertahankan Kg Baru dan yang lain2 mengamuk merasakan diri mereka terkepung antara orang Cina dengan askar Rejimen Renjer. Beberapa das turut ditujukan ke arah rumah Menteri Besar S’gor.
Askar Melayu
Akhirnya Rejimen Renjer dikeluarkan dan digantikan dengan Askar Melayu. Beberapa bangunan rumah kedai di sekitar Kg Baru, Jln Tuanku Abdul Rahman masih terus terbakar. Pentadbiran diambil-alih oleh Askar Melayu. Malangnya beberapa askar Askar Melayu turut masuk ke kedai2 emas Cina dan mengambil harta benda di sana. Ada yang berkata askar tersebut berpakaian preman.
Ramai orang Cina dibunuh dan dicampakkan ke dalam lombong bijih timah. Konon ada rakaman televisyen, beberapa pemuda Cina ditangkap, dibariskan di tepi lombong dan dibunuh. Bagaimanapun, sehingga sekarang, tiada bukti yang sahih mengenai rakaman ini.
Panggung Odeon
Pemuda2 Cina dari kongsi2 gelap telah bertindak mengepung Panggung Odeon, di Jln Tuanku Abdul Rahman, KL. Beberapa iklan disiarkan dalam bahasa Cina di skrin pawagam menyuruh penonton dari kalangan Cina keluar dari panggung. Penonton Melayu di panggung tersebut ramai yang mati. Ini termasuklah 2 orang Askar Melayu yang tinggal di Sungai Ramal, Kajang.
Seorang polis bernama Rahim yang tinggal di KL yang turut menonton wayang di Odeon terkena tetakan di kepala dan berpura2 mati. Beliau masih hidup hingga skrg. Akibat daripada tindakan sebegini, orang2 Melayu mulai bertindak balas, dan dikatakan kepala orang Cina yang dibunuh diletakkan di atas pagar .
Abdul Rafai Alias bersama rakan2nya dari Semenyih yang datang ke KL turut terperangkap dan terkejut dgn rusuhan kaum yang tidak disangka2 pada 13 Mei itu. Beliau turut melangkah2 mayat mereka yang telah terbunuh di atas jln.
Khabar angin mengatakan Tentera Sabil dari Sungai Manik hendak datang ke Kg Baru tetapi tersekat. Begitu juga dengan Tentera Selempang Merah dari Muar dan Batu Pahat tersekat dan disekat oleh polis di Balai Polis Kajang dan Cheras.
Ada 4 kiai di sekitar Kg Baru mengedarkan air jampi dan tangkal penebat, iaitu ilmu kebal dengan harga yang mahal . Sesiapa yang memakainya menjadi kebal dan boleh terbang2. Apa yang pasti, Askar Melayu juga telah menyelamatkan orang Melayu di Kg Baru ketika itu. Mungin juga ramai yang pernah mendengar kisah parang terbang yang terbang dan memenggal kepada orang Cina.
Namun rusuhan kaum tidak terjadi di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Di Perak, Kedah, Pulau Pinang serta Perlis tidak ada sebarang pergaduhan. Negeri Johor dan Negeri Sembilan juga tidak terjadi apa2. Cuma ada sedikit di Melaka. Di Betong ada tembakan oleh PKM.
Ada yang menyifatkan bahawa pergaduhan ini sebenarnya adalah pergaduhan “politik” dan bukanya perkauman. Kerana sebelum itu masyarakat melayu dan cina boleh hidup dalam keadaan yang harmoni. Seperti dinyatakan pergaduhan x berlaku di negeri melayu kelantan, pahang dan kedah. Jika ia merupakan isu perkauman, pastinya hari ini tiada lagi orang cina di negeri2 tersebut kerana habis di bunuh oleh orang melayu.
Kesimpulanya, pergaduhan ini bukanlah rusuhan perkauman, kerana ia hanya terjadi selepas pilihanyaraya dan hanya melibatkan orang2 melayu dan cina di KL shj.
Angka korban
Polis dan tentera sedang mengawal Panggung Odeon yang menjadi sasaran rusuhan.
Angka rasmi menunjukkan 196 mati, 439 cedera, 39 hilang dan 9,143 ditahan. 211 kenderaan musnah. Tapi ramai telah menganggar ramai lagi dibunuh. Sebuah thesis PhD. daripada Universiti California, Berkeley menganggar seramai 2,000 orang hilang nyawa dalam peristiwa 13 Mei.
Di mana Tunku
Ketika itu (13 Mei 1969), Tunku Abdul Rahman baru pulang dari Alor Star meraikan kemenangan beliau di sana.
6.45 petang Encik Mansor selaku Ketua Polis Trafik KL memaklumkan kejadian pembunuhan kepada Tunku Abdul Rahman. Darurat diisytiharkan pada jam 7.00 malam 13 Mei 1969. Ada khabar angin mengatakan Tunku sedang bermain mahjung. Dalam tulisannya, Tunku menafikan hal tersebut.
Mageran
Negara diisytiharkan darurat pada malam 16 Mei 1969 di seluruh negara dan Mageran dibentuk di bawah pentadbiran Tun Abdul Razak. Parlimen dibubarkan.
Peristiwa 13 Mei 1969 menyebabkan Tunku Abdul Rahman dipersalahkan oleh org Melayu dan Malaysia secara keseluruhannya. Berikutan itu Tunku meletakkan jawatan pada tahun 1970. Buku “Dilema Melayu” (”Malay Dilemma”) oleh Tun Dr Mahathir telah diharamkan. Dikatakan gandingan Tun Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim memburukkan Tunku Abdul Rahman.
Keadaan akhirnya dapat dikawal dan beberapa keputusan telah diambil bagi mencari jalan penyelesaian termasuklah penubuhan beberapa badan seperti Majlis Perundingan Negara, Dasar Ekonomi Baru dan Rukun Negara telah diciptakan.
Ternyata langkah Tunku Abdul Rahman penyingkiran Singapura dari Malaysia tidak menyelesaikan masalah perkauman. Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan kemuncak kemarahan lama orang Melayu kerana mereka miskin di tanah air mereka sendiri.
Tahun 1969 pilihan raya diadakan semula dan memberi kemenangan 2/3 semula kepada kerajaan yang memerintah. Barisan Nasional dibentuk. Wilayah Persekutuan KL dibentuk bagi mengurangkan pengundi Cina dalam DUN Sgor. Beberapa ahli politik yang dianggap berbahaya telah ditahan melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Persempadanan pilihan raya yang lebih bijaksana dan seimbang telah dilaksanakan. Sistem demokrasi, pilihan raya dan agihan kek ekonomi (hak-hak keistimewaan bumiputera) mendpt tafsiran semula.
credit to syedz
- 5/12/2010 10:20:00 PM
- 0 Comments
Kes penderaan kanak-kanak meningkat
PETALING JAYA 28 Mei - Kes penderaan kanak-kanak di negara ini semakin membimbangkan dengan sejumlah 2,780 kes baru dilaporkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada tahun lalu.
Jumlah itu membabitkan 1,795 kanak-kanak perempuan dan 985 kanak-kanak lelaki.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan kes sebanyak 781 berbanding dua tahun lalu.
"Saya amat mengambil berat isu penderaan sama ada membabitkan wanita atau kanak-kanak, jadi saya akan berusaha mengatasi masalah ini.
"Berhubung penderaan kanak-kanak, saya memberi amaran kepada pendera bahawa kementerian ini tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-kanak yang membawa hukuman denda tidak kurang RM20,000 atau penjara," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya di sini selepas menemui ibu kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dikenali sebagai Haikal yang kini dirawat di Hospital Serdang di sini kerana dipercayai didera.
Hari ini, sebuah akhbar melaporkan, ibu saudara Haikal membuat laporan kepada media apabila mendapati kanak-kanak itu kerap kali mempunyai kesan lebam dan luka di hampir keseluruhan badan seperti dipukul sejak berusia tiga tahun.
Sehubungan itu, dua pegawai dari JKM yang dihubungi media datang ke rumah kanak-kanak berkenaan semalam dan membawanya ke hospital untuk rawatan lanjut.
Shahrizat berkata, kes Haikal masih disiasat dan ia mengambil masa sekurang-kurangnya satu bulan untuk diselesaikan.
Menurut beliau, kehadirannya di mahkamah itu untuk melihat sendiri prosiding yang dijalankan supaya lebih memahaminya di samping berjumpa ibu kanak-kanak itu secara peribadi sebagai seorang isteri dan ibu.
"Mahkamah membuat keputusan bahawa kanak-kanak ini akan ditempatkan di JKM sehingga prosiding selesai.
"Selepas itu, kanak-kanak berkenaan akan diserahkan kepada penjaga yang layak dan jika tidak ada yang berhak, dia akan terus ditempatkan di JKM," katanya.
Katanya, selepas melawat Haikal di hospital semalam, beliau mendapati kanak-kanak itu seorang yang bijak bercakap dan aktif maka tidak sepatutnya terus dia hidup dalam suasana didera kerana mampu menghancurkan masa depannya.
sumber-Arkib Utusan Malaysia, Dalam Negeri 29 Mei 2009
- 5/03/2010 10:33:00 AM
- 1 Comments
huh...jam dh kul 3.27 pagi...
aku masih kat dpn laptop lagi....
dari tadi...
menaip x henti2....
kat bilik ni sume orang da tdo..
huhu...
- 4/29/2010 12:27:00 PM
- 0 Comments
Pendahuluan
Dalam dekad kebelakangan ini, pelbagai usaha telah diusahakan oleh ahli-ahli dalam bidang undang-undang, baik syariah mahupun sivil bagi memperkemaskan lagi institusi kehakiman tanah air. Pelbagai isu-isu semasa yang terbaru muncul hari demi hari menambahkan lagi keperluan terhadap penambahbaikan dalam undang-undang itu sendiri, baik statut mahupun perlaksanaan. Salah satu dari usaha dalam penambahbaikan ini adalah melalui pengenalan Enakmen Wasiat Negeri yang dimulakan dengan Negeri Selangor yang mula memperkenalkan serta menggunapakai Enakmen Wasiat Orang Islam Negeri Selangor 1999 (EWS 1999), usaha ini kemudiannya diikuti oleh negeri-negeri lain seperti Negeri Sembilan (Enakmen Wasiat Orang Islam Negeri Sembilan 2004) dan Melaka dengan Enakmen Wasiat Orang Islam Negeri Melaka 2005.
Marad al-Maut adalah merupakan satu perkara yang turut disebut dalam Enakmen-enakmen Wasiat Orang Islam negeri-negeri berkenaan. Marad al-Maut biasanya difahami sebagai penyakit-penyakit yang membawa kepada kematian seseorang. Oleh itu, kertas kerja ini akan mengupas dengan lebih terperinci dan mendalam berhubung apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan marad al-Maut dan kaitannya dengan undang-undang wasiat di tanah air kita.
Wasiat merupakan salah satu elemen pengurusan harta yang berkuatkuasa selepas dari kematian pewasiat. Wasiat yang dilakukan oleh pesakit dalam keadaan marad al-Maut adalah tidak sama dengan wasiat yang dilakukan oleh pesakit yang tidak berada dalam keadaan marad al-Maut. Bagi pesakit bukan marad al-Maut, hukum wasiatnya adalah sama seperti orang yang sihat. Sekiranya dia menyerahkan hartanya kepada orang lain, maka penyerahan itu adalah sepertimana kehendaknya. Senario yang berbeza dilihat dalam keadaan penyakit marad al-Maut di mana penyerahan harta (wasiat) hanyalah dibenarkan setakat 1/3 daripada keseluruhan hartanya[1].
Definisi Marad al-maut
Sekiranya diterjemah secara harfiyyah, Marad membawa maksud penyakit manakala al-maut pula bermaksud kematian. Jadi jika diterjemah secara literal bolehlah diktakan bahawa Marad al-maut ini bererti penyakit yang membawa kematian. Ibn Qudamah dalam kitabnya Al-Mughni menyatakan bahawa marad al-Maut bermaksud sakit hingga kematian.
Manakala definisi yang diberikan oleh Majallah Ahkam Ahkam Al-adliyyah pula ialah sakit yang dibimbangi kematiannya yang mana sakit itu boleh melumpuhkan pesakitnya dari melakukan aktiviti-aktiviti yang biasa dilakukannya serta penyakit berkenaan juga boleh membawa kematian dalam masa 1 tahun dari tarikh mula menghidap penyakit itu (dengan syarat penyakit itu tidak bertambah teruk atau berlaku sebarang perubahan.
Menurut Enakmen Wasiat Orang Islam Negeri Selangor 1999[2], tafsiran yang diberikan bagi marad al-maut ialah penyakit membawa maut yang memenuhi syarat-syarat berikut termasuklah:
a. Penyakit itu mestilah menyebabkan kematian si mati;
b. Penyakit itu mestilah menyebabkan kebimbangan kematian dalam minda si mati; dan
c. Mestilah terdapat tanda luaran suatu penyakit yang serius.
Ciri-ciri marad al-Maut
Penyakit merupakan sesuatu keadaan yang biasa dialami oleh manusia dalam tempoh usia hidupnya sama ada penyakit yang serius (kronik) mahupun sakit biasa. Secara umumnya, penyakit boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu penyakit biasa yang tidak membawa kepada kematian dan penyakit marad al-Maut. Sepertimana yang sedia maklum, penyakit biasa merupakan penyakit-penyakit ringan yang biasanya mudah sembuh dan tidak menyebabkan kematian contohnya demam, selsema dan sebagainya. Penyakit marad al-Maut pula ialah penyakit yang melibatkan gangguan emosi, fizikal dan mental yang boleh menimbulkan kerisauan di hati pesakit akan kematiannya. Selain itu, seorang pesakit boleh termasuk dalam kategori marad al-Maut ini sekiranya penyakit yang dialaminya itu mempunyai tanda-tanda penyakit yang merbahaya dan penyakit yang ditanggungnya itu mestilah berpanjangan hingga ke saat kematiannya tanpa diselangi sembuh[3].
Satu lagi ciri yang ditambah oleh Mazhab Hanafi ialah penyakit berkenaan mestilah tidak melebihi 1 tahun (kurang 1 tahun). Sekiranya penyakit tersebut melebihi 1 tahun, maka ia dianggap sama seperti penyakit biasa[4]. Jika seseorang yang menghidap sesuatu penyakit berkeyakinan bahawa penyakitnya itu akan menjadi sebab bagi kematiannya namun dia sembuh dari penyakit itu dan mati disebabkan penyakit lain, maka sakit yang pertama itu tidak dinamakan marad al-Maut kerana penyakit itu tidak kekal hingga saat kematiannya[5]. Lain pula bagi keadaan apabila seseorang yang menghidap penyakit yang dideritainya sehingga akhir hayat, namun dia mati kerana sebab lain contohnya kemalangan, terbakar, terjatuh dan sebagainya, sakit yang dialaminya ketika itu tetap dikira sebagai marad al-Maut[6].
Unsur-unsur Marad al-maut
Sakait marad al-Maut merupakan sakit yang dihidapi oleh pesakitnya secara berterusan sehingga membawa kepada kematiannya. Di samping itu, hendaklah penyakitnya itu kelihatan teruk sehingga menimbulkan kerisauan dan kecemasan bahawa penyakit berkenaan akan menyebabkan kematian dan terbukti apabila pesakitnya mati disebabkan penyakit itu[7]. Oleh itu, unsur-unsur yang perlu ada dalam penyakit marad al-Maut ialah:
1. Penyakit itu selalunya menyebabkan kematian.
2. Penyakit itu menimbulkan kecemasan atau ketakutan dalam fikiran pesakitnya bahawa penyakit itu boleh menyebabkan kematiannya.
3. Terdapat tanda-tanda luar yang menunjukkan bahawa penyakit itu merbahaya.
4. Pesakit meninggal dunia semata-mata kerana penyakit tersebut tanpa diselangi sembuh[8]
5. Mazhab Hanafi : tidak melebihi tempoh 1 tahun. Sekiranya melebihi 1 tahun, dianggap sama seperti penyakit biasa.
Penyakit-penyakit marad al-Maut
Sakit marad al-Maut adalah penyakit yang teruk (kronik), mengganggu emosi, mental dan fizikal pesakitnya, kebiasaannya membawa maut, kekal hingga akhir hayat pesakitnya dan ternyata menjadi penyebab kepada kematian pesakit itu sendiri. Dalam menentukan jenis penyakit yang boleh membawa maut, pandangan dari orang-orang ahli (doktor pakar) dalam bidang pakar adalah amat dititik beratkan dalam memutuskan sejauhmana kesan bahaya penyakitnya dan masa yang akan dilalui[9] bagi mengelakkan sebarang keraguan [10]
Antara penyakit yang dikhuatiri membawa kematian atau mengancam nyawa penghidapnya ialah penyakit dalaman badan seperti penyakit jantung, paru-paru, buah pinggang, taun, tibi, Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (HIV AIDS), penyakit kelamin dan sebagainya.
Ulama-ulama Islam bersepakat dan tidak berselisih pendapat berhubung kedudukan penyakit-penyakit ini[11]. Penyakit dalaman yang merbahaya kepada keselamatan jiwa biasanya akan menyebabkan pesakit menjadi lemah dan lebih terdedah kepada maut. Berhubung penyakit-penyakit yang berpanjangan dan kebiasaannya menyebabkan penghidapnya tidak boleh bangun dan melakukan kerja-kerja sehariannya seperti kusta dan lumpuh, ulama-ulama islam berselisih pendapat. Menurut imam Abu Hanifah, Imam Malik, al-Auza’I, al-Thauri, Muhammad bin al-Hassan, Abu Yusuf dan Abu Thaur, bahawa penyakit-penyakit berkenaan adalah antara jenis-jenis penyakit yang ditakuti dan boleh membawa kepada kematian[12]
Mazhab Hanbali pula berpendapat bahawa penyakit yang berpanjangan dan menyebabkan pesakit terlantar di tempat tidur sekalipun tidak disebabkan penyakit yang membahayakan seperti demam, selsema atau yang seumpama dengannya tetap dianggap sebagai penyakit marad al-Maut. Namun begitu, mazhab Syafi’i mempunyai pendapat yang berbeza dalam perkara ini. Apabila penyakit yang ditanggung oleh seseorang itu berpanjangan maka tidak lagi menimbulkan kecemasan tentang kemungkinan berlakunya kematian dengan segera walaupun sakit itu tidak dapat disembuhkan. Oleh itu, apabila hilangnya unsur kecemasan bagi pesakit, maka ia tidaklah termasuk dalamkategori penyakit marad al-Maut[13].
Orang-orang yang tergolong dalam marad al-Maut
Terdapat beberapa keadaan yang mana seseorang itu sedang berada dalam keadaan marad al-Maut. Golongan yang termasuk dalam kumpulan ini ialah:
· Orang yang akan dihukum bunuh kerana kesalahan qisas dan tidak ada harapan untuk mendapat keampunan[14]
· Orang yang sedang dalam perlayaran yang dilanda ribut[15]
· Tentera dalam medan pertempuran[16]
· Orang yang ditahan dan kemungkinan besar mereka akan menghadapi maut[17]
· Perempuan mengandung setelah usia kandungannya mencecah 6 bulan[18]
· Orang yang dipenjara dengan tujuan pembunuhan atau menunggu hukuman gantung sampai mati.
Ulama Islam bersepakat bahawa perempuan hamil juga tergolong dalam kumpulan pesakit marad al-Maut[19]. Oleh itu, dari segi pengurusan harta yang dibuat oleh permpuan mngandung adalah tertakluk kepada hukum wasiat. Namun dalam menentukan tempoh bila mereka dikira berada dalam keadaan marad al-Maut, ahli-ahli fiqh telah berbeza pendapat.[20]
Menurut Sa’id ibn al-Musayyid, `Atta’ dan Qatadah, mereka berpendapat peraturan wasiat mula berlaku sebaik sahaja perempuan itu mengandung. Imam Malik dan al-Kharqi secara agak khusus berpendapat bahawa peraturan wasiat mula berlaku ketika kandungan itu mula menjadi beban kepada ibunya atau lebih tepat lagi jik dikatakan ia bermula apabila ada kemungkinan ibu itu akan melahirkan bayi, iaitu setelah ibu itu genap mengandung selama enam bulan. Menurut Imam Ahmad bin Hanbal dan Ishaq pula ia bermula ketika kandungan mula menjadi berat.[21]
Di kalangan segolongan ahli fiqh yang lain seperti an-Nakha’I, Makhul, Yahya al-Ansari, al-Auza’i, Hanafi, ath-Thauri, al-Anbari, Ibn al-Mundhir dan ahli-ahli fiqh mazhab Syafi’I mereka secara lebih jelas dan khusus berpendapat bahawa peraturan wasiat bermula ketika ibu itu dalam kesakitan melahirkan anak. Manakala al-Hassan az-Zuhri sebaliknya berpendapat tindakan seorang ibu mengandung terhadap hartanya adalah sama halnya dengan kuasa seorang yang sihat kerana biasanya nyawa mereka tidak terancam.
Golongan-golongan ini merupakan mereka yang berada dalam keadaaan marad al-Maut selain dari keadaan biasa iaitu penyakit.
Marad al-Maut dalam undang-undang sivil.
Dalam mengkaji permasalahan berkenaan marad al-Maut ini, satu perkara yang turut menjadi perbincangan ialah adakah wujud satu pendekatan yang sama, yang turut digunakan dalam undang-undang sivil?. Ternyata jawapannya ialah ya. Persoalan marad al-Maut adalah sama seperti “contemplation of death” dalam undang-undang sivil[22].
Contemplation of death ialah perasaan kebimbangan yang menyelubungi hati dan perasaan seseorang terhadap ketibaan saat kematiannya kerana penyakit tertentu yang berat, kecacatan anggota atau bencana besar yang akan dating dan tidak dapat dielakkan[23]
Kebimbangan biasa yang dialami oleh semua orang yang tidak sihat tidak dinamakan orang tersebut berada dalam keadaan contemplation of death. Dalam masalah ini, melahirkan kebimbangan adalah satu unsure penting yang mesti wujud. Terdapat pelbagai cara memastikan wujudnya kebimbangan. Ia kadangkala boleh dilihat dari tingkahlaku seharian pesakit sebagai contoh pesakit sentiasa menyebut-nyebut soal kematian, tidak pedulikan harta benda dan banyak lagi. Sekiranya perkara ini terjadi, ia menunjukkan motif mati bagi pesakit berkenaan adalah lebih dominan berbanding motif hidup.
Menurut undang-undang Sivil, orang yang berada dalam keadaan ini terbahagi kepada 2 golongan iaitu yang berakal sempurna dan tidak berakal sempurna. Bagi pesakit yang berakal sempurna,kedudukan mereka adalah sama seperti orang sihat yang berakal. Manakala orang sakit yang tidak berakal sempurna pula adalah sama seperti orang sihat yang tidak berakal sempurna. Keupayaan mereka dalam soal pengurusan harta (wasiat) adalah bergantung kepada keadaan akal mereka[24]. Mudahnya, dalam Undang-undang Sivil, pesakit yang berada dalam keadaan contemplation of death yang berakal sempurna tidak termasuk dalam golongan yang tidak berkeupayaan manakala yang tidak berakal sempurna pula termasuk dalam golongan yang tidak berkeupayaan.
Berdasarkan Common Law, penyerahan atau pemberian harta yang dibuat oleh seseorang yang menunggu ketibaan saat kematiannya dinamakan Donatio Mortis Causa atau causa mortis[25] . Seperti pandangan Jumhur Ulama’(selain mazhab Hanafi), Common Law juga tidak mengehadkan tempoh tertentu kebimbangan yang ditanggung oleh orang yang berada dalam keadaan tersebut kerana tidak terbatas kepada suatu tempoh yang pendek sahaja. Oleh itu, seorang yang menyerahkan hartanya dalam keadaan kebimbangan terhadap saat kematiannya dalam tempoh 3 tahun sebelum kematiannya dikira Causa Mortis. Ini bermakna penyerahan harta yang dibuat tiga tahun sebelum kematiannya adalah sah dan akan terlaksana sesudah kematiannya. Walaubagaimanapun, adalah disyaratkan untuk si mati ketika penyerahan harta dibuat motif mati adalah lebih dominan berbanding motif hidup. Sekiranya motif hidup lebih dominan, maka penyerahan harta tersebut tidak termasuk dalam keadaan causa mortis dan keadaaan si mati itu tidak dikira berada dalam keadaan contemplation of death.
Common Law dan Undang-undang Sivil menganggap bahawa orang yang berada dalam keadaan contemplation of death adalah sama seperti orang yang sihat dalam soal pengurusan harta. Mereka bebas menguruskan harta mereka sama ada mahu mengadakan jual beli, sewa-menyewa dan sebagainya selagi mereka berada dalam keadaan waras atau berakal sempurna ; memahami maksud kontrak yang dibuat dan memahami kesan kontrak yang dibuat itu[26] . Mereka tidak termasuk dalam golongan yang tidak berkeupayaan. Dalam masalah penyerahan harta kepada seseorang, sama ada wasiat atau bukan wasiat,penyerahan itu masa sihat atau masa sakit yang boleh membawa mati, boleh melibatkan seluruh hartanya dan boleh diserahkan kepada sesiapa sahaja yang disukainya[27]. Ini amat berkontradiksi dengan apa yang telah ditetapkan oleh syariat Islam iaitu wasiat tidak boleh dibuat melebihi 1/3 daripada harta miliknya dan tidak boleh diserah kepada orang yang berhak menerima pusaka[28]
Analisis
Perbincangan dalam kertas kerja ini adalah berhubung penyakit yang mempengaruhi hukum wasiat. Penyakit pada dasarnya terbahagi kepada dua iaitu penyakit biasa penyakit marad al-maut. Dalam undang-undang Syariah, penyakit biasa atau penyakit bukan dalam keadaan marad al-Maut adalah sama hukumnya seperti seorang yang sihat. Manakala Penyakit marad al-Maut pula bermaksud penyakit yang boleh mendatangkan kecemasan dalam diri pesakit yang mengganggu emosi, mental dan fizikal pesakit.
Dalam mendalami perbincangan berkenaan marad al-Maut ini, penulis menekankan beberapa unsur yang perlu dititikberatkan dalam penentuan sama ada sesuatu penyakit itu boleh dikategorikan sebagai marad al-Maut ataupun tidak. Ini termasuklah perbahasan dan pendapat dari ulama-ulama mazhab yang berselisih pendapat. Sebagai contoh, dalam penentuan unsur-unsur marad al-Maut, mazhab Hanafi telah menambah satu lagi unsur bagi penyakit ini iaitu tidak melebihi tempoh satu tahun yang mana jika penyakit tersebut dihidapi oleh pesakit lebih dari satu tahun, maka ia dianggap sama seperti penyakit biasa.
Satu lagi perkara menarik dalam kertas kerja ini adalah orang-orang yang berada dalam keadaan marad al-Maut. Sebelum ini, penulis hanya mengetahui bahawa marad al-Maut berpunca dari penyakit. Namun , setelah mendalami karya ulama-ulama agung dan pendapat dari mazhab-mazhab, penulis mendapati bahawa terdapat beberapa keadaan orang yang boleh turut dikategorikan dalam marad al-Maut yang di antaranya termasuklah orang yang dilanda rebut ketika dalam pelayaran, tentera di medan pertempuran, ibu mengandung 6 bulan dan sebagainya.
Penulis turut mengkaji penggunaan doktrin marad al-Maut atau yang seumpamanya dalam undang-undang Sivil, contemplation of death merupakan satu doktrin yang sama seperti marad al-Maut. Definisi yang diberikan adalah hamper sama dengan definisi bagi marad al-Maut. Tetapi ia adalah sedikit kompleks kerana ia dibahagikan lagi kepada dua pecahan iaitu golongan sempurna akal dan tidak sempurna akal. Takrifan bagi orang yang sempurna akal adalah seperti yang termaktub dalam Seksyen 12(1) Akta Kontrak 1950 iaitu “Seseorang adalah dikatakan berakal sempurna untuk maksud membuat kontrak jika, pada masa ia membuat kontrak itu, ia berkeupayaan memahami kontrak yang diperbuatnya dan berkeupayaan membuat pertimbangan yang rasional terhadap kesan atas kepentingannya”.
Seterusnya ialah hukum wasiat marad al-Maut. Berdasarkan Enakmen Wasiat Orang Islam Negeri Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan rang undang-undang wasiat Negeri Kelantan, hukum bagi wasiat marad al-Maut adalah sah dalam had 1/3 daripada hartanya sahaja dan jika melebihi 1/3 , maka wasiat itu adalah tidak sah dan terbatal. Hal ini adalah sangat bertentangan dengan peruntukan yang terdapat dalam Undang-undang Sivil yang membolehkan harta boleh dilupuskan seluruhnya dan boleh diserahkan kepada sesiapa yang disukai.
Kesimpulan
Berdasarkan rujukan-rujukan dan analisis yang telah dibuat bertulang belakangkan fakta dan statut-statut yang berkenaan. Penulis dapat menyimpulkan bahawasanya Undang-undang Syariah telah menunjukkan satu kelebihan yang belum dan mungkin tidak dapat ditandingi Undang-undang Sivil berkenaan pengurusan harta wasiat bagi pesakit dalam marad al-Maut.
Perbezaan yang sangat jelas dan ketara apabila perbandingan dibuat antara Undang-undang Syariah dan Undang-undang Sivil yang menggunakan keadaan contemplation of death di mana Undang-undang Syariah melalui Enakmen Wasiat Negeri memelihara hak-hak ahli waris dengan hanya membenarkan transaksi harta dalam keadaan marad al-Maut hanya dalam kadar 1/3 harta si mati. Ini amat bertentangan dengan Undang-undang Sivil yang tidak menetapkan kadar tertentu dan wasiat boleh dibuat kepada sesiapa sahaja yang diingini.
Selain itu juga, melalui kertas kerja ini, penulis dapat mengenali dengan lebih mendalam kesan penyakit marad al-Maut ini terhadap hukum pembahagian wasiat.
BIBLIOGRAFI
Abdul Rashid Abdul Latiff (1986), Wasiat Dalam Islam: Pengertian dan kedudukannya di Malaysia. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia
Fatimah Sulaiman (1999), Tegahan Pengurusan Harta: Kajian Perbandingan antara Syariat islam dengan Undang-undang Sivil, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Ibrahim al-Bajuri (1974), Hasyiat al-Allamat al-Syeikh Ibrahim Bajuri `Ala Syarhi Ibnu Qasim al-Ghazzi, al-Mujallid al-awwal, al-taba’at al-thaniah. Beirut: Dar al-Ma’arif
Majallah Ahkam al-Adliyyah
Sharbini, Muhammad bin Muhammad al-Syafi’i al-Khatib, Al-Mughni al-Muhtaj, j.3 Mekah: Dar al-Kutub `Arabiyyah
Syafi’i, Mohammad bin Idris (1983), al-Umm, Beirut: Dar al-Fikr
Zuhayli, Wahbah (1997), Al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu, Beirut: Dar al-Fikr
Enakmen Wasiat Orang-orang Islam Negeri Selangor 1999
Enakmen Wasiat Orang-orang Islam Negeri Melaka 2005
Enakmen Wasiat Orang-orang Islam Negeri Sembilan 2004
Enakmen Wasiat Orang-orang Islam Negeri Kelantan 2009 (Rang Undang-undang)
[1] Mughni al-Muhtaj Ila Marifati Ma’ani Alfaz al-Minhaj, al-juz’u al-thani, hlm 165.
[2] Seksyen 2(1) EWS 1999
[3] Al-Ahliyyat al-Madaniyyat fi Syari al-Islami wa al-Qawanin al-Lubnaniyah, hlm 361-363
[4] Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, al-juz’u al-khamis, hlm 133.
[5] Al-Madkhal fi al_Fiqh al-Islami, hlm 462
[6] Ibid
[7] Mohammad bin Idris asy-Syafi’I (1983), al-Umm, hlm 134
[8] Abdul Rashid Abdul Latiff (1986), Wasiat dalam Islam: Pengertian dan kedudukannya di Malaysia, hlm 134
[9] ‘Ali Khafif, al-Ahkam al-Muamalat al-Islamiyah, hlm 250 .
[10] Muhammad Syarbini al-Khatib, Mughni al-Muhtaj, al-juz’u al-thalith, hlm 50
[11] Sulaiman al-Bujairimi, Bujairimi `ala al-Khatib, al-juz’u al-thalith, hlm 71.
[12] Ibn Qudamah, al-Mughni, al-juz’u al-sadis, hlm 150
[13] Ibid, hlm 150.
[14] Ibrahim al-Bajuri, Hasyiat al-Allamat al-Syeikh Ibrahim al-Bajuri ‘ala Syarhi Ibnu Qasim al-Ghazzi, al-Mujallid al-awwal,hlm 264 .
[15] Op cit hlm 205.
[16] Op cit hlm 624.
[17] Op cit, hlm205-208.
[18] Ibid, hlm 203.
[19] Fatimah Sulaiman(1999), Tegahan pengurusan harta: Kajian perbandingan antara Syariat Islam dengan undang-undang Sivil,hlm 229
[20] Ibid, hlm 230.
[22] Henry Campbell Black, Black’s Law Dictionary, Edisi Kelima, hlm 288.
[23] Ibid, hlm 288.
[24] Akta Kontrak 1950(Akta 136) seksyen 12(1)
[25] Henry Campbell Black, Black’s Law dictionary, Edisi Kelima, hlm 288; A.R Mellow, The Law of Succession, hlm 546.
[26] Akta Wasiat 1959 (Akta 38), Seksyen 3, Akta Kontrak 1950 (Akta 136), Seksyen 11-18.
[27] Foo Yin Choo & Anor lwn Foo Siew Lan & Ors [1972] 1 MLJ 69.
[28] Sulaiman al-Bujairimi, Bujairimi ‘Ala al-Khatib, al-juz’u al-thalith, hlm 71
- 4/26/2010 11:22:00 AM
- 1 Comments

