bercakap dengan dinding kelabu

5/20/2015 11:57:00 PM

"Panggilan terakhir untuk penumpang Adam Mikhail bin Kamel, sila ke balai pelepasan pintu 4 untuk pelepasan segera". Omongan manusia sedikit perlahan saat telinga-telinga pantas cuba menangkap bait-bait nama yang disebut berulang-ulang kali dari tadi.

Sudah 5.40 pagi. Luar dari kebiasaan hari ini merupakan hari yang ditunggu-tunggu setelah 5 bulan keputusan temu duga itu disebarluas, Adam lebih bingkas dari norma seorang lelaki yang ghalibnya bangun usai jemputan agung dilaung. Cergasnya lain macam. Melihat beg beroda besar yang sudah siap terisi kelengkapan untuk latihan sepuluh bulan membuatkan hatinya sedikit sedih.

Januari hingga April yang lalu merupakan suatu tempoh bertenang yang cukup lama. Lebih dari cukup untuk melahirkan jutaan nyamuk Aedes untuk dijadikan askar pembunuh kerdil menghukum kedangkalan warga kota.

Bening pagi yang dingin memaksa Adam menyelimuti tubuh dengan sesalinan windbreaker berjenama North Face yang dibelinya secara online. Punat pendingin hawa dibiarkan mati sepanjang jalan menuju ke gerbang keluar masuk udara kebanggan kota.

Langkahan Adam bertukar menjadi lari-lari anak saat kakinya mencumbui lantai lapangan terbang. Pantas matanya mencari skrin Pelepasan. Melihat sahaja tulisan OD1601 FINAL CALL, beliau terus berlari melepasi kaunter pemeriksaan dan mendapatkan pintu 7 untuk meninggalkan kota. Pintu 7 sudah sunyi dari pergerakan manusia dan kelihata 2 lelaki berbaju putih dengan vest flourescent hijau dengan set walkie talkie di tangan menunjukkan wajah runsing dan mengisyaratkan kepada Adam agar segera masuk ke dalam perut kapal.

"Awak, saya nak tanya ni. Soalan ni serius. Saya nak awak jawab dengan jujur". Hingar KLIA2 tiba-tiba jadi bisu sebaik soalan itu muntah dari bibir Adam.

Hari ini sudah masuk hari ketiga Adam bergelut dalam perut penuh kemelut Kuala Lumpur. Bergelumang dalam sarang kebejatan kota dengan manusia orok-orok di puncak-puncak kuasa membuatkan ramai marhaen di sini tunduk dengan slogan kuasa yang rata-rata bersepah dari paket susu minuman segera, makanan harian termasuklah media cetak dan segala media yang wujud, akan wujud bahkan belum wujud kalau boleh mahu diremitkan dengan slogan yang sama.

Asap putih jerebu yang mengisi segenap ruang zarah menjadikan penglihatan Adam kabur dalam lariannya petang ini. Mengelilingi varsiti tua nyata suatu pengalaman yang mengasyikkan saat masih di bangku pengajian dahulu. Akan ada dua tiga bahkan banyak kereta yang membunyikan hon tidak kurang ada juga penunggang motong melambaikan tangan kepadanya. Sebagai seorang yang mesra dan ramah menjadikan Adam sangat terkenal dalam kalangan penduduk varsiti ini. Selesai tiga pusingan dia mula mengecilkan langkahnya kemudian memdikitkan kelajuan hingga sampai ke boat house di bibir tasik kebanggaan itu.

"Siapa sebenarnya saya pada awak?'', bagai panahan petir, soalan spontan itu membutir perlahan dari hati Adam yang sepanjang jeraya tadi membisu memikirkan kepastian dalam tempoh hayatnya yang terkemudian.

Aryana tidak menunujukkan reaksi luar jangka detik Adam serius menanyakan soalan itu. Adam sedari tadi sabar menunggu jawapan yang bakal menunjukkan haluan hayatnya usai itu.

Sampai di bilik, Adam meletakkan lambungnya pada hamparan toto yang dibelikan ibunya dari Rantau Panjang beberapa tahun sudah. Pandangannya fokus pada dinding kelabu ruang kecil bilik yang cukup memuatkan dua lelaki bersaiz asia itu. Sambil kakinya melunjur pada tilam bertulis 'hak kerajaan' itu tangannya menjalar mencari telefon bimbit yang dimasukkan dalam sarung bantal biru diraja kebanggaan warga yang duduk di sini.

Memandang dinding kelabu diam melayarkan imaginasinya jauh...jauh ke dimensi waktu yang membawanya melimpasi detik-detik indah...kenangan hampir empat tahun perkenalan itu nyata seperti pisau yang merodok laju hatinya tanpa belas.



You Might Also Like

0 org cakap blakang

Wikipedia

Search results

Like us on Facebook

Flickr Images