musim

7/26/2016 01:23:00 AM

Macam musim beredar yang empat, panas, sejuk, bunga dan luruh, juga sama dengan musim buah yang bersaling ganti durian rambutan, duku langsat, manggis dan mangga, fenomena ini turut tidak lekang menyirami kawasan belah sini. Ya di tempat jarang sekali manusia mahu berkumpul berkomplot, berdua berskandal baik sendiri beruzlah.

Usai sekumpulan lelaki dari beberapa tempat tinggi mendongak mencongak garis-garis ufuk mencari apa yang kawan-kawan Yuri (lebih mesra dijolok dengan nama textbook friendlynya Gagarin) sebut sebagai al-hilal, yang kemudian mengikut adatnya disusul dengan susuk lelaki berpakaian kebangsaan lengkap duduk disebuah kerusi jati dari Semarang lalu suara dan wajahnya ditayang rayang ke tiap saluran yang mampu dicapai gapai kepada tiap indera baik mata juga telinga sampai ia menjadikan saluran televisyen utama kerajaan itu mendapat lebih hit dari segala rancangan lainnya mengalahkan siaran langsung perlawanan akhir bola sepak piala dunia, serentak itulah biasanya kalau yang lelaki bertakbirlah kebanyakannya di surau baik masjid-masjid, dan yang perempuan ke mana lain kalau bukan di dapur bermanja dengan blender  dan kuali, yang anak-anak bertaburanlah ke laman rumah berbekal bunga api dan mercun das berwarna-warni mengisi malam yang biasa kita sebut malam raya.

Maka bermulalah detik azab buat perut yang lama berehat dari tugasnya ketika kornea galak membezakan warna berbanding hanya senja hingga dini fajar sebelumnya. Dan saat inilah aku sebut sebagai perubahan musim..Ya musim makanan. Sebelum ni kalau pada wajah meja hidangan menjelang waktu syaitan ligat keluar, lazimnya terisi pinggan-pinggan dengan makanan yang terbit dari tempat berkumpulnya saudagar-saudagar makanan seperti murtabak, charkuetiau, nasi arab, pau cendawan, roti john, air tebu, senario kali tampaknya berubah terus. Murtabak bertukar cendol, roti john bertukar apam balik, pau cendawan bertukar lemang, dan yang paling syoknya, nasi arab bertukar kambing golek.

Syahadan, berbondonglah makhluk disini berkira-kira mencatit pada jadual hari yang mana satu lengkap bersekali bayangan menu yang bakal dijamu. Bahkan hingga yang ada menghantar utusan perisik bagi mendapatkan maklumat rinci, tepat dari punca yang boleh percaya.

Hari raya macamni, pada aku tak salah kalau kita benar hendak mengisi kantung perut, urat rasa dengan  juadah beraneka, lagipun Islam sendiri mensyariatkan perbuatan memenuhi undangan ini.

Baginda Nabi menyebut yang ertinya,
"Hak muslim pada muslim yang lain ada enam iaitu,
(1) Apabila engkau bertemu, berilah salam padanya
(2) Apabila engkau diundang, penuhilah undangannya
(3) Apabila engkau dimintai nasihat, berilah nasihat padanya
(4) Apabila dia bersin lalu mengucapkan ’alhamdulillah’, doakanlah dia (dengan mengucapkan ’yarhamukallah’, pen)
(5) Apabila dia sakit, ziarahilah dia, dan
(6) Apabila dia meninggal dunia, iringilah jenazahnya." (HR. Muslim).

Bila bertandang ke rumah terbuka kawan-kawan, baik unit-unit atau bahagian-bahagian di pejabat ni aku rasakan banyak peluang buat pahala yang jarang-jarang kita nampak kalu bukan selain makanan percuma yang berlambak. Antara jalan yang paling mudah menjadikan kau, aku, mereka dan kalian lebih beruntung saat perut semakin mengembung adalah dengan mengamalkan adab-adab saat berkunjungan. Kalau kau rasa-rasa tak ingat..aku kongsikan kat bawah ni:

ADAB-ADAB MENGHADIRI UNDANGAN
1. Jangan membiarkan pihak yang menjemput menunggu terlalu lama menunggu kerana ia akan menjadikan pihak yang pengundang gelisah dalam penantian. Dan jangan pula datang terlalu awal sehingga mengejutkan dan mengganggu pihak pengundang dalam mereka membuat persiapan.

2. ketika masuk kedalam rumah, jangan terlalu menonjolkan diri, namun adalah lebih elokagar bersikap tawadhu’ dan jika tuan rumah (pengundang) menjemput duduk di salah satu tempat, maka duduklah di tempat itu dan seeloknya jangan berpindah darinya.

3. Pihak yang menjemput seeloknya menyegerakan hidangan pada tetamu yang diundang.

4. Jangan tergesa-gesa mengemaskan tempat makanan sehingga pasa tetamu selesai menikmatinya.

5. Tuan rumah seeloknya menyediakan makanan yang mencukupi (tidak terlalu sedikit dan tidak pula terlalu berlebihan).

6. Apabila tetamu ingin bermalam di rumah seseorang, elakkan bermalam melebihi tiga hari, melainkan jika tuan rumah memintanya untuk terua tinggal di rumahnya. Apabila tetamu tersebut ingin pulang, dia harus memohon izin dari tuan rumah.

7. Ketika keluar dari rumah orang yang menjemput, tetamu digalakkan agar berlapang dada sekiranya ada berlaku perkara tidak elok sepanjang layanan tuan rumah sepanjang berada di rumah berkenaan. Sikap lapang dada itu termasuk dalam akhlak mulia dan terpuji dimana dengannya seseorang dapat menyamai darjat orang yang berpuasa dan orang yang melakukan solat Tahajjud.

Disalin dari kitab Aadaab Islaamiyyah, Penulis ‘Abdul Hamid bin ‘Abdirrahman as-Suhaibani,

Semoga kita sama-sama beroleh manfaat. Cewah!

You Might Also Like

0 org cakap blakang

Wikipedia

Search results

Like us on Facebook

Flickr Images