Kuburan Budi
1/21/2018 07:38:00 PMPertambahan makhluk bernama manusia di atas tanah TOL anugerah tuhan ini menjadikan keterdesakan itu satu lumrah yang wajib ditempuh. Atmosfera persaingan yang busuk menusuk segala menghasilkan sebuah generasi manusia yang gagal. Gagal berfungsi seperti selayaknya. Ya benar, kata tuhan jangan diputar, "Sesungguhnya Aku menjadikan manusia di muka bumi sebagai khalifah". Khalifah pada segala sudut pandang yang pernah dan telah wujud.
Kita, pentadbir yang mentadbir sebuah pentadbiran taklifan tuhan. Tugas menguruskan dunia sudah tentu tidak boleh dilakukan sendiri secara silo oleh seorang hero. Adiwira mana pun yang terbit dari benak fantasi fiktis karyawan handal tidak boleh lari dari kelemahan.
Kebejatan sosial yang lahir hasil dari hubungan haram kemajuan teknologi dengan akal yang berfungsi secara songsang telah mewujudkan satu demi satu malapetaka senyap yang tak terbendung dengan sikap kendiri tabi'e masyarakat kita yang senyap dan senyap-senyap dalam menyembunyikan kecacatan nyata pada tubuh budi.
Kakisan dahsyat pada moraliti melalui tindikan jarum-jarum halus teknologi jelas menanam benih-benih mafsadah yang membesar tanpa sedar dalam jagaan rapi sebuah institusi mikro yang bernama keluarga. Ternyata momokan ibu dan bapa prihatin 90an dengan jayanya telah meluputkan sejenis kayu mudah lentur dari pohon melilit pelbagai guna dari gambaran akal anak moden masa kini.
Budi tidak lahir bersekali dengan fetus yang menangis di bilik bersalin, ia datang dari contoh yang ditatang tayang yang perlahan berkadaran diserap masuk meresap melalui penglihatan dan deria reseptor lainnya lalu dihadam semampunya oleh daya proses minda anak-anak sebelum membesar dan bersaing dalam dunia benar yang semakin parah.
Syaitan kini zahir dan tidak lagi ghaib seperti zaman datuk dan nenek kita. Kalau dulu syaitan keluar waktu senja dan lari terberak mendengarkan azan, sekarang syaitan lebih pop dan moden seiring tsunami teknologi dan iklim fesyen global semasa. Mereka telah berjaya menempatkan diri berdampingan dan sentiasa disisi manusia menerusi apa yang kit apanggil telefon pintar. Segala jenis gajet baharu yang dirasuk syaitan kini juga dengan gemilang dan jayanya menghasut secara terang-terangan di bawah topeng langit terbuka.
Dunia takkan mampu diselamatkan oleh seorang adiwira semata-mata. Sudah tentu ramai lagi adiwira yang dunia perlukan untuk membolehkan segala fungsi berjalan seeloknya sesuai kehendak yang Maha Empunya. Maka, umat manusia sudah kehabisan alternatif selain pulang mengikut acuan tuhan dan kembali mengikut manual penciptaan yang diterjemahkan dengan lebih mudah melalui rasul-rasul utusanNya. Jadi, sekarang nasib dunia adalah pada tangan kalian yang membaca. Mari bantu bumi, tanam budi.
0 org cakap blakang