Hujung Ramadan ini

6/12/2018 07:56:00 PM

Ramadan kali ini panas. Lebih panas aku rasakan jika dibanding dengan Ramadan yang sama tahun-tahun sudah. Mungkin kerana peningkatan suhu dunia yang mencanak sehinggakan dunia sebelah sini turut bersama memikul azab yang didatangkan dalam bentuk haba.

Menuju pintu keluar Ramadan, masa seakan berjalan perlahan..selambatnya..maka kesempatan itu aku manfaatkan untuk menggelintar dan merayau di alam tidak nyata. Tergerak rasanya aku melontarkan sebuah review dari observasi aku yang cetek pada salah satu video yang mencatat hit yang pantas dengan perkongsian yang ligat dari kita, warga alam nyata.

Sebuah potongan video yang terakam melalui sebuah peranti bijak menayangkan lagak empat lelaki berpakaian serupa dengan latar belakang lori tertera kata dalam rona berani POS, dalam gaya bersahaja bersembang sesama sendiri sambil melontar lempar bungkusan pelbagai saiz ringan dan berat memasuki sebuah bakul besar setinggi lebih kurang 7-8 kaki. Terang benar bualan kita di alam itu seperti lampu yang menarik kelkatu untuk menutur tulis emosi dan kata fikir pada ruang komen. Aku perhatikan hampir semua yang berdamping dengan aku turut sedar dan maklum tentang kisah empat lelaki yang segera terkenal itu.

Lalu kemudiannya disebarkan pula sebuah lagi video jawapan kepada video yang aku sebut tadi. Bezanya, kali ini empat orang tadi disertai pula seorang lelaki yang berpakaian putih dengan lambang serupa, kemas dimasukkan ke dalam seluar. Besar kemungkinan dia adalah kepala dari kepala kompeni yang banyak. Jalan ceritanya kali ini lebih berunsur keinsafan, lelaki berbaju putih lebih banyak bertutur yang bertanya kepada empat lelaki tentang tingkah terdahulu mereka dengan tangannya menunjal-nunjal kepada peranti pintar ditangannya, lalu jalan ceritanya dimatikan dengan ucapan selamat hari raya juga permohonan ampun empat lelaki tadi kepada umum.

Itu adalah kisah tentang video. Namun apa yang menarik pada aku bukanlah pada video-video tu. Aku lebih asyik menonton telatahan rakyat alam siber yang memberi pelbagai respon terhadapnya.
Melihat pada hujah tujah yang dilempar tikam. Aku merasakan sesuatu yang dahsyat telah menghinggapi nukleus sel otak masyarakat kita. Suatu yang dibimbangi leluhur kita dari dulu. Sehingga kegusaran ini antaranya pernah diluah ke atas lembar kertas yang ditajukkan 'Tunjuk Ajar Melayu'..ini bukan satu ludahan berbau rasis. Namun lebih bersifat syumul yang menyentuh segenap nusa Nusantara yang bernama Malaysia.

Adab kat mana? ya aku mendokong kempen ini. Kita terlalu mengejar kemajuan berteknologi sehingga kita tanpa sedar telah mengulum hadam budaya luar yang menyelinap lalu menanggalkan pakaian jati diri dan budaya timur yang kita peluk sedari lahir. Lalu kita seperti dibogelkan. Tidak berhenti di situ, bahkan turut sama dengan halwa busuk itu, kita tanpa segan malu menayangkan aib kita dan bersatu mencari sekutu untuk membogelkan yang lainnya. Astaghfirullahal Azim.

Alangkah molek kalau kita kurangkan emosi dalam melontar komentar. Biar yang terbit ke alam maya itu suatu yang baik dan sesuai untuk tontonan pucuk-pucuk muda, zuriat kita. Bayangkan 30 tahun ke depan, masa itu  aku yakini kita semua paling kurangpun sudah mempunyai satu penyakit pendamping sebelum mati (bergantung pada takdir), masa tu kita sudahpun insaf dan merapat ke masjid dan surau. Bagaimana kalau video tersebut diulangsiar lalu kembali terangkat tulisan-tulisan kita saat bodoh kita yang kemudian ditonton pula cucu-cicit kita. Malu bukan?

Tulisan ini tidak menyalahkan semua pengguna alam satu lagi jauh sekali menghukum kedangkalan mereka yang terlibat dalam insiden video tersebut. Ya, Tuhan kita pesan untuk kita memberi peringatan bukan. Sekurang-kurangnya kita mengingatkan buat diri kita sendiri yang sesekali lupa dan leka.

nah, itulah kisah di hujung Ramadan ini.

Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir dan Batin



You Might Also Like

0 org cakap blakang

Wikipedia

Search results

Like us on Facebook

Flickr Images