Meja

1/08/2015 11:43:00 PM

rintik hujan yang masih mendatar belum menunjukkan sebarang tanda mahu berhenti. Mak dari tadi masih asyik dengan pisau dan bawang di dapur. Sambil aku dengar suara kuali rancak menyanyi melebarkan aroma kasih sayang seorang kakak dalam masakan yang bakal dihidang sekejap lagi. Aku rasa mungkin kali ini kakak buat ikan masak kicap barangkali.

Dalam bingit campuran bunyi aku sempat menjeling adik yang ralit di meja makan dekat ruang tamu. Al-maklumlah hidup di tengah kota metro, semuanya mahu dijimatkan. Termasuk juga ruang sedia kecil yang dipadatkan dengan lambakan barangan dan susunan perabot. adik yang tadi tegak duduknya, sudah mulai menyandar pada kerusi buruk turunan turun-temurun dari zawan arwah moyang aku dahulu.

"Long, kau tolong ambikkan nasi ni ha..bubuh kat meja tu," lembut suara mak memanggil dari ruang dapur.

Aku bingkas bangun dari toto terus menuju ke dapur.

"Amboi mak, meriah masakan hari ni," sapaku sambil mengambil senduk nasi dan langsung membawa periuk nasi ke meja makan.

"dik..bangun dik" aku mengejutkan adik yang mukanya sudah bersatu dengan wajah-wajah kertas di meja.

"alih buku-buku ni. Simpan kat meja along dalam bilik sana." arahku tegas.

Adik mengangguk sambil mengesat matanya lalu spontan menguap dan mula menyusun kertas-kertas tulisannya.

"tutup mulut tu kalau menguap tu..nanti dimasuk syaitan..apalah adik ni!" kak menerpa dari dapur mencubit belakang adik dengan tangannya sebelah lagi membawa sepinggan lauk ikan tenggiri masak kicap.

Betul tekaan aku kali ini. Aku tersenyum sendiri memerhatikan adik yang sedang berlalu menggosok-gosok belakangnya mungkin sebab sakit di cubit kakak tadi. Siap semuanya di meja makan, ayah datang mengisi kerusi yang dulunya tempat duduk arwah atuk dan mungkin juga tempat duduk arwah moyang aku.

"kakak..duduk." ujarnya tegas.

Kakak yang sedang menuangkan air di gelas cepat-cepat duduk.

"Bismillahir rahmanirrahim.. Allahumma baariklana fiima rozaqtana waqina 'azabannar." suara garau ayah mengisi ruang kecil rumah yang sedia bising dengan bunyi hujan menghentam atap zink usang rumah pusaka ini.

Sudah menjadi kebiasaan keluarga ini untuk tidak bangun sebelum ayah bangun dari kerusinya. Ayah hari ini seperti belum mahu berdiri dari meja makan sungguhpun sudah kering air basuhan tangan di jemari kasarnya.

"ukhh..ukhh..ukkkkh." bunyi batuk ayah mengunci suasana yang tadinya bising dengan sembang anak-beranak.

"Ayah, along ada benda nak bagitau ayah ni." Aku memberanikan diri memulakan bicara.

Ayah mengangguk ringkas. Dengan tidak semena-mena, semua mata tertumpu pada aku.

"Sebenarnya along ada dapat bonus minggu lepas. Jadi along dh tempah 1 meja baru nk ganti meja ni. Nanti petang esok taukeh kedai kata nak mari hantar," ujarku ringkas dan padat.

"nanti meja ni bolehla kita buang, lagipun dah buruk sangat kot," aku menambah

"tapp!!." ayah menghentak meja.

"tak boleh!..yang kau sibuk nak buang meja ni kenapa?!"

Makan malam malam itu berakhir di situ. Ayah terus membasuh tangan, mengambil kunci motor yang bersangkut pada paku-paku di tepi gerobok lantas keluar menjauh dari pandangan kami.

"Balik dari surau kejap lagi sejuk la ayah kamu tu," lembut suara mak mengisi ruang.

Esoknya aku ke tempat kerja awal. Selepas subuh aku terus ke tempat kerja. Sepanjang jalan fikiran aku masih galak mengingatkan kejadian di meja semalam. Masih terngiang bunyi hentakan meja yang melekat kuat di langit otak. Aku hairan kenapa ayah marah sangat bila aku sebut pasal set meja baru tu. Lagipun, meja lama tu dah buruk sangat kot. Kaki meja tu pun sudah berapa kali ayah gamkan dengan gam kayu. Bukan setakat itu, tanggam-tanggam kerusinya pun sudah penuh dengan skru dan paku-paku yang berkarat reput mungkin sebab sudah terlalu lama. Salah satu kerusinya patah satu kaki yang aku ganti dengan kayu sisa dari tapak pembinaan dalam perjalanan menuju pejabat. Kalau dilihat sekali mungkin nampak cantik sebab ada ukiran bunga dan awan larat pada setiap bucunya, tapi kalau duduk di kerusinya baru dapat rasa betapa usangnya meja tua itu.

"Macam mana petang ni?, taukeh kedai dah nak datang hantar meja. Duit dah bayar semua. Aku nak letak kat mana meja buruk tu." omelku sendirian.






You Might Also Like

0 org cakap blakang

Wikipedia

Search results

Like us on Facebook

Flickr Images