Allahafiz!
4/24/2016 09:23:00 PMBergegar tangan Akash sambil matanya tajam memerhati meja nombor 34. Langkahnya disusun penuh berhati-hati menghampiri meja panjang tersebut. Lain benar baginya perasaan hari pertama bekerja di negara ini. Rakyatnya gemar keluar bersukan di malam hari. Rata-rata yang hadir ke tempat ini sejak dari jam 8.30 tadi kebanyakannya kumpulan-kumpulan anak muda yang datang pelbagai gaya. Selain dua tiga pasangan yang mungkin sedang belajar bercinta, sekali sekala terlihat juga kelibat lelaki berseragam serupa bagai di kampung halamannya, berkain pelikat dengan pakaian kemas berketayap ringkas di kepala. Pekerjaan baharu ini mengajar dirinya mengenal rempah, menu dan mempraktikkan ilmu kira-kira selain memperbaiki imbangan badannya dalam membawa pesanan. Sebagai penerima anugerah pelajar terbaik dalam Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan tahun 2012, matematik sudah tentu bukan masalah baginya.
Jam pada dinding premis 24 jam itu mengisyaratkan lima minit menghampiri empat pagi., Suasana kian rancak dengan gelak tawa disulam kepul-kepul asap rokok yang bergentayangan memenuhi siling. Hampir seluruh mata tertumpu pada kotak-kotak leper yang tergantung kemas hampir tiap penjuru menyaksikan sebiji bola direbut oleh dua pasukan nun di seberang laut. Sudah lama Akash membunuh minatnya terhadap perlawanan bola sepak. Kalau bukan kerana sebiji bola itu, sudah tentu adiknya Rafat mampu melanjutkan pelajaran dan menjalani hidup seperti lelaki normal yang lain.
Tiba di hadapan pintu 17, Akash memberhentikan langkahnya sambil mengeluarkan kunci dari poket kiri seluarnya.
"Assalamualaikum"
"Waalaikumussalam, Akash. Lambat kau balik"
"Biasalah, aku main dengan anak kucing tadi dekat kedai". Pantas Akash mematikan perbualan.
Syamim dan Sayeed memerhatikan sahaja telatah Akash sambil menonton bicara pagi di TV9. Selesai bertemu tuhan, Akash melabuhkan lambungnya pada toto lusuh tinggalan Mahir yang dihantar pulang sebulan lepas. Fikirannya panjang menerawang sambil matanya ralit memandang siling layu perlahan-lahan mengikut pusingan bilah-bilah kipas yang berputar.
"Kau ikutlah kami ke Malaysia. Dekat sana banyak peluang kerja. Kau boleh tolong sara keluarga kau."
"Pergilah nak. Ramai saudara kita dekat sana."
"Kau tak perlu bayar apa-apa. Aku ada seorang kawan. Dia ejen pekerja asing. Ramai dah kawan-kawan kita dia hantar ke Malaysia. Nazir, Rasel, Saiful, Ahmed pun sekarang dah berjaya di sana. Kau lihat bagaimana kehidupan keluarga mereka di sini. Selesa kan?. Itu semua ejen ni lah yang hantar mereka."
"Pergi lah bang. Sekurang-kurangnya abang dapat bantu adik untuk biayai kos perbelanjaan ubat kakinya tu. Lagipun tahun depan adik nak bedah. Kita kena ada wang secukupnya untuk tampung bayaran pembedahan tu."
0 org cakap blakang