satu soalan
9/27/2016 01:50:00 AMFatamorgana yang zahir pada asfal hitam turapan jalan hasil pancaran terik suria memaksa butir-butir peluh berkejaran menurun dahi membasahi segenap baju kemeja petak kelabu, satu-satunya kemeja terbaik kepunyaan Said dari koleksi pakaian yang semuanya dari kedai-kedai lusuh dan juga tinggalan rakan-rakannya yang pulang ke tanah asal. Tidak mudah baginya untuk mendapat peluang seperti hari ini. Setelah tiga bulan berkelana di negeri ini, akhirnya permohonannya untuk bercuti diluluskan.
Jauh perjalanan dari rumah ke tempat kerjanya adalah lebih kurang setengah batu, setiap hari melalui jalan yang sama menjadikan otot-otot kaki dan kudrat tubuhnya kenal benar dengan setiap liku jalan dan lorong bahkan gerai-gerai kecil di tepi simpang pun turut mengiktiraf kehadirannya sebagai penghuni baharu kota itu.
Sedikit berbeza hari ini adalah kerana tarikh 30 September, yang ditunggu sejak dari jejak pertama kakinya ke tanah ini. Langkahnya sedikit panjang dan hela nafasnya seakan seirama dengan girang dihatinya. Gegas mahu pantas sampai ke bilik kecil itu.
Sampai di hadapan pintu zink biru 8 kaki itu jam ditangannya berbunyi menandakan tepat pukul 8. Kelihatan barisan mulai terbentuk di hadapan pintu bilik kecil kabin berhawa dingin itu. Kalau dikira..dia di tempat ke enam dan di belakangnya orang mulai ramai menghurung kawasan itu. Sampai gilirannya, Said melangkah masuk penuh yakin dengan wajah yang ceria bertenaga. Segala kepenatannya seakan-akan lenyap saat sampul kuning berada dalam genggamannya. Selesai urusan di bilik kecil itu Said senyum sendiri sambil melangkah keluar dari tapak mercu baharu kebanggaan negara itu.
Terbayang jelas wajah isteri dan anaknya yang saban malam dia tatap tersenyum saat menerima kirimannya dari sini. Ingin benar dia mengajar anaknya Shima mengayuh basikal yang bakal dibelikannya kelak. Juga terbayang wajah ibunya yang tersenyum dengan kerusi roda baharu yang ditolak oleh ayahnya berjalan bersama ke tempat-tempat menarik di pinggir kota. Lama sungguh hasrat itu dia tanam di hatinya mengenangkan kepayahan hidup di tempat asal.
Hampir tengah hari, langkahnya yang tadi panjang dengan senyuman girang mulai longlai dan semangatnya yang tadi berkobar seperti makin pudar menongkah bahang siang yang membakar. Ternyata tanggapannya salah. Kedai pengurup wang yang dekat pada jangkaannya itu seperti tidak wujud. Dihadapannya terbentang jajaran panjang jalan raya yang diapit binaan tinggi pelbagai bentuk. Tidak kelihatan bangunan putih bersebelahan surau dua tingkat yang disebut-sebut teman serumahnya itu.
Said melabuhkan lelahnya dengan bersandar pada pohon tunjuk langit yang banyak ditanam sebagai penyeri lanskap di pinggir jalan kota itu. Sambil menyeka peluh yang membasahi pipinya, dia menyerah kalah. Tidak mungkin ada sebuah kedai pengurup wang sejauh ini. Dia terlalu penat untuk meneruskan langkah. Dia yang tadinya bersandar kini sedang duduk dipelukan akar pohon tua diteduhan rendangnya.
"Allahu Akbar Allahu Akbar.." lenanya tersentak mendengar suara parau laungan azan yang bergema. Lantas dia membetulkan duduknya sambil mengesat wajahnya yang kepenatan. Harapannya seakan bersinar semula mendengarkan lantunan panggilan tersebut. Lantas dia mengarahkan langkahnya menghala menuruti alur bunyi seruan agung itu.
Semakin galak langkahnya, begitu semakin kuat gema pantulan suara azan mengisi ruang sekelilingnya. Kini dihadapannya berdiri sebuah surau dua tingkat dan di sebelahnya sebuah kedai pengurup wang. Cita-citanya kian hampir. Rengekan manja Shima makin jelas kedengaran di bibir telinganya, senyuman dan tawa ibunya makin dekat dirasakan saat dia sampai pada cemin lutsinar berlubang tiga itu. Lain benar pemandangan tempat sebegini kalau di tanah tumpah darahnya. Pemandangannya lebih maju dengan paparan pelbagai nombor dan bendera pada skrin digital selain terdapat tempat duduk empuk dengan penghawa dingin melengkapi keselesaan berbanding sebuah meja dan kerusi, juga sebuah meja berlaci dan warga tua berkaca mata tebal yang lazimnya merajai perusahaan tukaran wang di negaranya.
"Bos, apa mau?" suara lelaki berkaca mata dari sebelam dalam kaca lutsinar itu membawanya kembali dari fana menikmati keselesaan premis itu.
"Mau kirim wang" ujarnya ringkas.
"which country?"
"Bangladesh"
"Guna Western Union lah. Berapa mau kirim?". Seakan marah lelaki di balik cermin melontarkan wajah jijik kepadanya.
"Satu ribu lima ratus ringgit". Sambung Said bersekali tangannya mengeluarkan sampul surat kuning dengan penuh pengharapan.
Dengan cermat dia asingkan lima helai not hijau biru berlambang kelapa sawit untuk dirinya dan isi selebihnya dari sampul kuning itu dia serahkan pada lelaki cermin.
Sebuah borang dihulurkan lelaki cermin kepadanya melalui plat besi tahan karat yang boleh digerakkan di bawah cermin yang memisahkan Said dari kegembiraan saudaranya di Dhaka.
Habis mengisi borang, jejari lelaki cermin mulai rancak menari di papan kekunci. Mungkin disebabkan lama bekerja, dia seakan kenal benar dengan tiap-tiap yang dituturkan oleh skrin petak yang kemudiannya diterjemahkan kepada sebuah kertas berharga yang terbit dari mesin cetak yang bingit.
"Ini you punya transfer pergi Bangladesh, ini kod penerima atas nama Nirmala Khan" lelaki cermin menunjukkan kertas bercetak sambil membulatkan sekumpulan nombor pada kertas itu.
Belum sempat Said menanyakan soalan, lelaki cermin dengan pantas mengarahkannya ke tepi untuk memberikan laluan kepada barisan dibelakangnya.
Di luar pintu kaca kedai pengurup wang Hussin Akramullah, Said mulai mengatur langkahnya pulang.
Sepanjang perjalanannya, tiada kata selain doa agar kirimannya sampai pada keluarganya di sana.
1 org cakap blakang
You can do it! jiayouu!
ReplyDelete